Saturday, September 4, 2010

SELAMAT PULANG KE KAMPUNG SEMPENA HARI RAYA AIDIL FITRI 2010M BERSAMAAN 1431H

JKKK Kampung FELDA Bukit Mendi ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil
Fitri kepada seluruh peneroka dan anak-anak peneroka warga Kampung FELDA Bukit Mendi tidak kira yang bermastautin di kampung mahupun di perantauan.

Alhamdulillah, berkat usaha dan perjuangan peneroka untuk meneroka tanah di Kampung FELDA Bukit Mendi dalam pahit dan manis untuk memajukan kampung demi melihat kejayaan anak-anak, kini telah terbukti ramai anak-anak warga FELDA Bukit Mendi telah berjaya menjawat pelbagai jawatan tinggi sama ada di sektor swasta mahupun kerajaan.

Sempena hari raya yang bakal menjelang tiba ini, JKKK Kampung FELDA Bukit Mendi ingin mengingatkan kepada seluruh anak warga Kampung FELDA Bukit Mendi yang berada di perantauan agar berhati-hati memandu apabila ingin pulang ke kampung halaman sempena hari raya ini.

Rancanglah perjalanan dengan sempurna dan janganlah tergesa-gesa untuk pulang berhari raya. Ingatlah, ibu dan bapa sentiasa menanti ketibaan anda semua dengan harapan menggunung untuk sama-sama menceriakan lagi suasana di hari raya.

Semoga hari raya ini merupakan hari yang berbahagia untuk warga peneroka Kampung FELDA Bukit Mendi. Bersalam-salamanlah anak-anak bersama ibu dan bapa di hari yang mulia ini untuk bermaaf-maafan dan jangan lupa untuk menziarahi pusara ibu dan bapa bagi yang telah kehilangan kedua-dua orang tua.

Akhir kata, seluruh ahli jawatankuasa JKKK Kampung FELDA Bukit Mendi ingin memohon ribuan ampun dan maaf sekiranya sepanjang pihak kami melaksanakan pengurusan kampung terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan. Insya Allah, kami akan sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan kami untuk kebaikan semua penduduk,.

Friday, September 3, 2010

Sumbangan Hari Raya Aidil Fitri 2010 bersamaan 1431H

JKKK FELDA Bukit Mendi telah mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidil Fitri pada 28 Ogos 2010 bersamaan 18 Ramadhan 1431H bertempat di Balai Raya FELDA Bukit Mendi.

Seramai 95 penerima sumbangan telah menerima sumbangan pada hari tersebut. Para penerima sumbangan adalah terdiri daripada OKU, pesakit kronik, golongan warga emas, anak-anak yatim dan ibu tunggal telah menerima sumbangan yang telah disampaikan oleh YB. Dato' Ismail Bin Sabri selaku Ahli Parlimen Bera merangkap Menteri Perdagangan dan Industri.

JKKK FELDA Bukit Mendi dengan ini merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para penyumbang termasuk Bank Rakyat Cawangan Bera yang telah menyampaikan sumbangan zakat pada hari tersebut.


Semoga para penerima sumbangan akan turut sama bergembira menyambut Syawal yang bakal tiba nanti. Insya Allah. Amin.